Surat.
SURAT TERBUKA KEPADA DATO SERI NAJIB TUN ABDUL RAZAK
Apa khabar Dato Seri,
Sebelum perbicaraan Dato Seri diputuskan oleh pihak mahkamah, saya adalah di antara jutaan rakyat Malaysia mengikuti perkembangan perbicaraan dan aktiviti harian Dato Seri melalui media.
Selama 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, saya merasa kesal dan simpati apabila Dato Seri Najib dan keluarga sentiasa dimalukan, dihina, dicerca, difitnah dan ditekan habis-habisan hingga sedemikian rupa seolah-olah Dato Seri adalah penjenayah no.1 dunia sepanjang zaman.
Malahan Dato Seri sekeluarga telah “dibicara dan dijatuhkan hukuman bersalah” secara berjemaah oleh pemimpin dan penyokong PH pada setiap masa tanpa melalui proses undang-undang yang sewajarnya.
Saya masih ingat lagi ketika rumah Dato Seri digeledah pada bulan Ramadan 2018 walhal waktu dan ketika itu umat Islam sedang berjemaah beribadah bertarawih di masjid dan surau hinggakan timbul tanggapan berbentuk fitnah oleh penyokong PH bahawa Dato Seri sekeluarga mahu melarikan diri ke luar negara pada malam tersebut.
Namun begitu Dato Seri sekeluarga kuat dan tabah menghadapi ujian dan dugaan “tsunami” ini serta beristiqomah berjuang untuk kebenaran.
Pada penghujung perbicaraan kes mahkamah Dato Seri ini, saya berdoa kepada Allah swt agar Dato Seri sekeluarga diberikan keselamatan, perlindungan dan rahmat daripada Allah swt di dunia dan akhirat. Kebenaran akan menyusul. InsyaAllah.
Aamiin YRA.
Ikhlas daripada
Bendahara Nusantara @ FB
Jumaat, 24 Julai 2020

